Hari ini semua Sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) telah selamat tiba ke Sendai kira-kira jam 1 petang (waktu tempatan). Sendai merupakan antara kawasan yang teruk dilanda bencana yang menyayat hati tempohari. Sehingga ke hari ini, Sendai masih dianggap kawasan berisiko tinggi.
Perjalanan dari Shibuya ke Sendai mengambil masa 7 jam perjalanan menggunakan kenderaan ringan. Sepanjang perjalanan, kami di pantau oleh En. Ibrahim Muhamad, Ketua Penolong Pengarah, Atomic Energy Licensing Board (AELB), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Malaysia. Beliau dibantu oleh En. John Konsoh Sangau, Pegawai Penyelidik, Malaysian Nuclear Agency.
Setibanya kami di Sendai terdapat sebuah lori yang membawa barangan sumbangan rakyat Malaysia telah menunggu kami untuk kerja-kerja pemunggahan. Tanpa berlengah lagi, kami Sukarelawan KP1M yang sudah diberi penerangan tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing terus memunggah turun barangan dari lori kontena berkenaan.
Kami melahirkan rasa berbesar hati apabila seorang rakyat Jepun member izin untuk meletakkan barangan yang telah dipunggah di dalam gudang milik beliau. Beliau yang tidak mahu dikenali namanya berasa teruja dengan kesungguhan rakyat Malaysia memperjudikan nasib dan nyawa datang ke Sendai.
Kemudian, sebanyak dua buah lori kontena pula muncul membawa barangan minuman untuk diedarkan kepada rakyat Jepun. Wajah di setiap Sukarelawan KP1M agak keletihan tetapi jelas penuh dengan rasa tanggungjawab bagi memastikan misi diselesaikan dengan segera. Berkat kesungguhan ini, kerja-kerja pemunggahan barang Berjaya diselesaikan dlaam tempoh 30 minit.
Sekali lagi para Sukarelawan KP1M menerima kejutan apabila tiba-tiba rakyat Jepun dari muda hingga ke warga emas termasuk wanita sekitar 15 orang muncul untuk menghulurkan bantuan tenaga tambahan. Suasana begitu ceria dan penuh dengan semangat untuk misi bantuan kemanusiaan ini.