Pada hari kedua Misi Bantuan Kemanusiaan KP1M-Gempa Bumi Christchurch, semua Sukarelawan KP1M mulai berkumpul untuk bersarapan pagi seawal jam 7 pagi (waktu tempatan). Sarapan pagi disediakan oleh secara bersama oleh para pelajar dan rakyat Malaysia di Christchurch. Semangat gotong-royong masih menebal dikalangan mereka walaupun ada yang telah menetap disini lebih dari 5 tahun.
Selepas bersarapan pagi, semua Sukarelawan KP1M diberi taklimat ringkas oleh En. Farid Hassan, Naib Presiden KP1M tentang perjalanan dan aktiviti hari ini.
Pergerakan pertama Sukarelawan KP1M hari ini ialah ke Christchurch Art Gallery, yang dijadikan sebagai satu Bilik Gerakan Operasi bagi kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Christchurch ini.
Seterusnya, Sukarelawan KP1M diberi penghormatan khas oleh Kerajaan New Zealand untuk melakukan kunjung hormat kepada Mayor of Christchurch, Mr. Bob Parker. Pertemuan ini berjalan dengan baik di mana kami telah menyatakan salam takziah dari YAB Perdana Menteri Malaysia, kepimpinan negara dan seluruh rakyat Malaysia di atas bencana yang melanda Christchurch. Kami turut menyatakan bahawa kehadiran KP1M ke Christchurch adalah sebagai satu usaha membantu Kerajaan New Zealand bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa gempa bumi itu khususnya kepada 636 orang pelajar dan rakyat Malaysia yang agak trauma dengan kejadian ini. Pada masa yang sama, kami turut menghulurkan salam bantuan kepada pihak beliau khususnya kepada pembangunan semula Christchurch.
Mr. Bob Parker, Mayor of Christchurch melahirkan rasa terharu di atas kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Sukarelawan KP1M terhadap semua mangsa gempa bumi yang melanda bandar ini. Sekali lagi difahamkan, inilah kali pertama New Zealand membenarkan sukarelawan dari negara asing seperti Malaysia untuk turut sama dalam misi bantuan kemanusiaan, lebih-lebih lagi KP1M bukanlah agensi atau jabatan kerajaan di sesebuah negara.
Beliau turut menyampaikan salam persahabatan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia di atas rasa keprihatinan terhadap masyarakat di Christchurch.
Menjadi sesuatu yang amat bersejarah apabila Mr. Bob Parker memberi satu kebenaran khas kepada kami sukarelawan KP1M masuk ke kawasan runtuhan teruk di bandar ini. Kumpulan kami diiringi oleh dua orang pegawai keselamatan tertingginya sebagai langkah keselamatan. Difahamkan, kebenaran ini tidak diberikan kepada mana-mana pihak sebelum ini. Di kawasan runtuhan teruk itu, di bahu jalan kiri dan kini di kawal oleh anggota polis dan tentera New Zealand dan beberapa negara seperti Singapura, manakala terdapat pasukan penyelamat dari Jepun dan Kanada turut berada di tempat kejadian.
Kami juga sempat melihat dengan lebih dekat Bangunan CTV yang telah mengorbankan seorang rakyat Malaysia. Bangunan setinggi lima tingkat itu ranap sama sekali dan ditelan bumi, hanya meninggalkan sebahagian struktur lif sahaja.
Seterusnya, delegasi Sukarelawan KP1M telah ke Homestead Lane, Ilam untuk bertemu dengan puluhan pelajar dan rakyat Malaysia di sana. Pertemuan di adakan di Common Room, Ilam Apartment, University of Canterbury. Kemudian kami semua bergegas ke Newnham Terrace dan Brockworth Place yang juga menempatkan para pelajar dan rakyat Malaysia. Bantuan berupa makanan dan wang saku dihulurkan bagi meringankan bebanan mereka.
Semua Sukarelawan KP1M yang beragama Islam menunaikan Solat Jumaat di Masjid An-Nur. Sekitar 300 orang dilihat memenuhi masjid itu yang majoritinya dapat dilihat adalah masyarakat Timur Tengah. Selesai saja bersolat Jumaat, kami semua sempat untuk menunaikan Solat Jenazah bagi seorang saudara Islam yang menjadi mangsa bencana gempa bumi di bandar ini. Beliau berasal dari negara Iraq. Al-Fatehah.
Kemudian, kami semua bertolak ke Cantebury Islamic Centre (CIC) yang terletak di Lincoln Road, Hillmorton. CIC merupakan sebuah bangunan yang dimiliki oleh seorang rakyat Malaysia berasal dari Mersing iaitu Pak Sahak atau lebih dikenali dengan nama Pak Hak. Pada asalnya, bangunan ini merupakan sebuah gereja.
Di CIC, kami semua menikmati jamuan makan tengahari. Pada masa yang sama juga, kumpulan perubatan KP1M yang diketuai oleh Datuk Dr. Mohamed Alwi Abd. Rahman membuka klinik perubatan percuma kepada mereka yang hadir di CIC. Kesempatan ini, beberapa Sukarelawan KP1M mendapatkan pemeriksaan tekanan darah tinggi dan kandungan gula dalam darah.
Kesempatan yang terluang kami gunakan sebaiknya. Kami telah melawat sebuah rumah yang rosak teruk milik rakyat Malaysia iaitu Mr. Selvarajah. Dari raut wajahnya tidak menampakkan yang beliau sedang kesedihan. Bagaimana pun, apabila diminta menceritakan pengalamannya, beliau jelas dalam keadaan tertekan, sedih dan trauma. Kami telah mententeramkan beliau dan sedikit sumbangan diberikan bagi meringankan beban yang ditanggung.
Kemudian kami menemui sepasang warga emas suami isteri rakyat New Zealand, yang juga jiram kepada Mr. Selvarajah. Kedua-duanya kelihatan trauma dengan kejadian itu. Banyak perkara yang dibualkan dan dikongsi bersama. Apa yang menarik ialah dipenghujung perbualan, pasangan warga emas ini menyatakan bahawa “NEGARA ANDA SEBUAH NEGARA YANG AMAN DAN TIDAK ADA BENCANA. SAYA KAGUM DENGAN PERDANA MENTERI ANDA YANG DAHULU DAN SEKARANG”.
No comments:
Post a Comment